SHAH ALAM - Pas menyifatkan tuduhan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang mengatakan tindakan parti itu untuk membawa usul percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bertanggungjawab adalah satu tuduhan yang susah difahami dan tidak masuk akal.
Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, usul percaya ini adalah satu usaha yang paling bertanggungjawab.
"Kita berada di dalam suasana di mana kerajaan berada di dalam keadaan kucar kacir. Pemimpin-pemimpin kerajaan berbeza pandangan malah bertelagah secara terbuka.
"Parti-parti kerajaan kelihatan tidak sehaluan. Ini sudah tentu tidak baik untuk negara kerana kerajaan dilihat tidak stabil dan boleh tumbang pada bila-bila masa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, usul percaya ini akan dapat mengembalikan kestabilan kepada negara sekali gus dapat membuktikan bahawa Perdana Menteri mendapat sokongan dari Parlimen.
"Kenapa perlu melenting dan takut kepada usul percaya ini? Adakah Patriot mengesyaki terdapat ahli Parlimen kerajaan yang akan belot," katanya.
Pada 13 Februari lalu, Presiden Patriot, Brigadier Jeneral (Bersara), Datuk Mohamed Arshad Raji mendakwa percubaan oleh beberapa ahli politik memberikan undi percaya terhadap Dr Mahathir di Parlimen adalah tidak bertanggungjawab.
Mohamed Arshad berkata, langkah itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab bagi kedua-dua belah pihak blok politik yang terlalu berkeinginan untuk membentuk kerajaan pintu belakang.