ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita tidak menyangka bunyi cermin pecah hingga membuatkannya terjaga dari tidur telah menyelamatkannya daripada menjadi mangsa samun di rumahnya di Taman Daman Jaya, Skudai di sini Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan wanita tempatan berusia 42 tahun itu terjaga sekitar jam 4 pagi selepas terdengar bunyi tersebut.
"Curiga dengan bunyi tersebut, wanita berkenaan terus menghubungi polis.
"Setengah jam kemudian sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah ke rumah wanita berkenaan.
"Hasilnya, mereka berjaya memberkas dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 22 dan 24 tahun di lokasi," katanya.
Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah namun saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama sembilan hari bermula 12 hingga 20 Disember ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan rumah bagi tujuan mencuri.
Misteri bungkusan hilang terjawab
Dalam kes berasingan misteri kehilangan beberapa bungkusan milik penduduk di sebuah pangsapuri di sini, akhirnya terjawab apabila polis menahan seorang penghantar bungkusan wanita.
Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang mendakwa berlaku kecurian bungkusan milik penduduk di sebuah pangsapuri di sekitar kawasan berkenaan.
"Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang wanita warga tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penghantar bungkusan.
"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
"Saringan awal air kencing juga mendapati suspek negatif dadah.
"Polis merampas barang-barang seperti dua botol mocellar cleansing water, satu kotak tisu basah dan dua kotak losen," katamya.
Suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga Isnin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.