SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.
Tengku Zafrul berkata, individu mempunyai hak asasi dan mutlak untuk memilih landasan perjuangan kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang itu mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.
"Saya amat terkejut dengan perkembangan kenyataan kepimpinan tentang perkara ini. Tambahan pula sejak isu ini mula diketengahkan saya tidak menerima sebarang panggilan dari pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar.
"Dalam memilih wadah perjuangan politik yang sesuai bagi pembangunan rakyat dan negara seterusnya, seperti saya nyatakan, saya pernah ada berbincang dengan PKR.
"Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil (PRK) dibincangkan. Walau apa pun, saya tidak membuat apa-apa keputusan lagi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, selain desas-desus akan menyertai PKR, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut dikaitkan dengan spekulasi bakal menerajui Selangor menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad turut mengesahkan terdapat perbincangan awal bersama Tengku Zafrul berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut, menurut Tengku Zafrul, beliau akan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan UMNO sekiranya keputusan berkenaan telah dibuat.
"Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya.
"Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.
"Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor," ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, beliau juga yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan yang telah dibina mempunyai semangat kerjasama utuh dan toleransi tinggi.
"Kerajaan yang mampu menerima perbezaan pandangan dan pendapat dalam kalangan parti komponen tanpa mengganggu gugat objektif utama iaitu mengemudi negara ke arah kesejahteraan yang terbaik buat rakyat.
"Hakikatnya, saya telah meninggalkan dunia korporat untuk menjadi anggota pentadbiran kerajaan. Saya lakukan ini kerana saya yakin ianya merupakan landasan kerjaya yang mampu menyediakan ruang dan peluang untuk saya berkhidmat kepada rakyat dan juga menyumbang kepada agenda pembangunan negara secara langsung.
"Bagi saya, yang penting kita fokus tentang dasar untuk rakyat, berdasarkan politik yang membina dan bukan menghancurkan," ulasnya.