Bendera terbalik, jangan beri tekanan kepada LZJ

Iklan
Jersi dipakai Zii Jia memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik.

MEMALUKAN! Itulah reaksi rakyat negara ini berhubung insiden bendera Malaysia yang dilihat jelas dipasang terbalik dipakai oleh pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia ketika beraksi dalam Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China baru-baru ini.

Kesilapan tersebut amat berat kerana ia melibatkan identiti dan maruah negara. Bayangkan, seluruh dunia melihat bendera Malaysia terbalik pada jersi pemain Malaysia sendiri.

Iklan
Iklan

Insiden ini sangat memalukan kerana ia memberi kesan besar terhadap imej negara di mata dunia.

Oleh itu, kesalahan dalam pemasangan bendera dengan cara yang salah menunjukkan kurangnya penghormatan terhadap simbol negara.

Iklan

Tidak ada alasan yang boleh diterima untuk mengabaikan perkara yang semudah dan sepenting ini.

Sekadar permohonan maaf tidaklah mencukupi. Tindakan lebih berat perlu dikenakan terhadap semua yang terlibat.

Iklan

Jika tiada ketegasan dalam hal ini, pasti kesilapan serupa akan berulang. Ini disebabkan oleh sikap mengambil mudah yang semakin menular dalam kalangan kita.

Kemudian, permohonan maaf akan dikeluarkan sekali lagi, dan kita akan menerimanya dengan hati terbuka. Akhirnya, perkara ini tidak akan dipandang serius sampai bila-bila, dan ia akan berulang.

Bagaimanapun, apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan merangka kod etika penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian atlet, ini adalah sesuatu yang wajar walaupun sebenarnya ia adalah perkara yang sepatutnya semua orang sudah mengetahuinya.

Sejak dari bangku sekolah lagi kita diajar melukis gambar bendera Malaysia. Masakan kita boleh terlupa?

Sebenarnya, hanya mereka yang tidak peka sahaja akan melakukan kesilapan seperti itu.

Namun, kita menghargai cadangan, pandangan, dan keprihatinan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berhubung insiden ini.

Cuma satu perkara yang harus dihentikan adalah memberi tekanan kepada Zii Jia.

Menerusi video yang tular di media sosial ketika ini, jelas kelihatan bahawa pemain tersebut hanya menukar jersi yang telah disediakan untuknya sahaja.

Justeru, untuk menyalahkan Zii Jia adalah tidak adil. Sebagai atlet, jersi bukanlah fokus utama. Misinya adalah untuk menang. Siapa di sekelilingnya, merekalah yang perlu bertanggungjawab.