Kim Keon-hee, pemusnah karier Presiden Korea Selatan

Iklan
Suk Yeol (kiri) didakwa menggunakan kuasa sebagai Presiden untuk melindungi isterinya.

SEOUL - Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon-hee menjadi pemusnah karier politik suaminya sendiri apabila Presiden, Yoon Suk Yeol disingkirkan menerusi undian pemecatan di Parlimen pada Sabtu.

Kerana terlalu sayangkan isteri, tindakan itu akhirnya memakan diri Suk Yeol.

Iklan
Iklan

Terdapat spekulasi mendakwa keputusan melulu Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu kerana mahu melindungi Keon-hee daripada siasatan puak pembangkang.

Kontroversi melibatkan isterinya telah bermula sejak sebelum drama politik menggemparkan itu tercetus.

Iklan

Sebelum menjadi isteri Presiden, beliau merupakan ketua pegawai eksekutif dan presiden syarikat pameran seni, Covana Contents.

Keon-hee, 52, berkahwin dengan Suk Yeol pada 2012 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Iklan

Pasangan itu sering berkongsi gambar bersama anjing dan kucing peliharaan mereka di platform media sosial.

Wanita itu juga adalah aktivis pencinta haiwan di Seoul.

Gaya berfesyen Keon-hee turut mendapat perhatian banyak pihak.

Gaya berfesyen Keon-hee turut dikagumi ramai kerana dilihat berbeza dengan Wanita Pertama sebelumnya yang lebih gemar berimej low profile.

Ketika awal kempen suaminya, penampilan wanita itu bagaimanapun sudah tidak disenangi segelintir pihak.

Pada 2021, Keon-hee pernah memohon maaf kerana berbohong memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Seoul National University ketika memohon jawatan profesor setelah penipuan itu dibongkarkan Kementerian Pendidikan.

Wanita itu terus mencipta kontroversi sebelum Pilihan Raya Presiden pada 2022.

Ketika itu, parti pembangkang, Parti Demokratik mendakwa Keon-hee dan keluarganya memanipulasi harga saham sebuah pengedar kereta.

Sebagai tindak balas terhadap skandal itu, Suk Yeol bertindak memansuhkan pejabat Presiden yang menguruskan jadual dan aktiviti Wanita Pertama.

Pengkritik melihat keputusan itu sebenarnya membolehkan Keon-hee campur tangan dalam hal ehwal negara tanpa pengawasan sesiapa.

Tinjauan Gallup Korea pada bulan lalu mendapati sokongan ke atas Suk Yeol merudum kepada 17 peratus pada paras terendah sejak beliau memegang jawatan pada Mei 2022 dan ia dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan orang ramai terhadap cara beliau mengendalikan skandal yang menghimpit isterinya.

Kontroversi paling popular dan mendapat liputan meluas media adalah tentang hadiah mewah iaitu sebuah beg jenama Dior bernilai kira-kira 3 juta won (RM9,791) yang didakwa melanggar undang-undang antirasuah.

Seperti dalam babak drama, insiden itu dirakamkan menggunakan kamera tersembunyi pada jam tangan pastor Choi Jae-yong yang memberikan 'hadiah' itu kepadanya.

Klip tersebut mengundang kontroversi di platform media sosial dan digelar sebagai skandal 'pay-to-play' merujuk kepada tindakan individu menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi mereka.Orang ramai kemudiannya 'melondehkan' isu lain terkait Keon-hee termasuk pembedahan plastik, prosedur kosmetik dan gaya berpakaian terlalu elegan serta koleksi barangan mewah miliknya.

Keon-hee terus mencipta kontroversi sebelum Pilihan Raya Presiden pada 2022.

Skandal berulang

Landskap politik Korea Selatan telah sekian lama dicemari kontroversi dan skandal melibatkan Presiden dan ahli keluarga mereka.

Penganalisis percaya rakyat kini lebih peka terhadap kemunculan isu serupa di bawah pentadbiran Suk Yeol.

Sebahagian besar bekas Presiden di negara itu telah berdepan siasatan jenayah melibatkan kes rasuah dan akhirnya meringkuk di dalam penjara.

Sebagai contoh, Park Geun-hye yang berkhidmat pada 2013 hingga pemecatannya pada 2017.

Pengkritik menuduh beliau membenarkan rakan karibnya untuk mempengaruhi hal ehwal negara melalui sebalik tabir.

Geun-hye akhirnya disabit atas kesalahan rasuah.

Bekas Presiden, Roh Moo-hyun (2003-08) yang mendakwa pentadbirannya 'paling bersih' dilaporkan membunuh diri selepas meletak jawatan.

Pada masa itu, isterinya disiasat kerana didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan yang mengelak cukai dan caj perdagangan untuk melangsaikan hutang keluarga.

Lee Myung-bak yang menggantikan Moo-hyun juga disabit kes rasuah selepas pengundurannya.

Kes itu timbul daripada siasatan terhadap syarikat alat ganti kereta milik ahli keluarganya dan Myung-bak dituduh melakukan eksploitasi untuk tujuan kepentingan peribadi.

Ketika ini, tumpuan diberikan kepada nasib Keon-hee setelah penggantungan kuasa suaminya.

"Beliau mungkin tidak lagi mendapat perlindungan kedudukan suaminya sebagai Presiden seperti sebelum ini,” kata, penganalisis penyelidikan untuk Program Korea di Pusat Stimson berpusat di Amerika Syarikat (AS), Natalia Slavney.

Bagi Profesor Bersekutu, Lee Young-Im di California State University, sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya kerana ia bergantung kepada keputusan Parti Kuasa Rakyat (PPP) meskipun ia tidak memegang majoriti di Parlimen.

"Walaupun Suk Yeol mungkin ditahan, anggota parti beliau tidak akan membiarkan pemimpin itu disiasat.

"Situasi itu juga boleh berubah kerana konflik dalaman yang sudah wujud dalam parti tersebut,” jelasnya lagi. - Agensi