BEIJING - China kini membasmi dan mengasingkan wang kertas sudah digunakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghentikan penyebaran koronavirus (Covid-19) yang meragut 1,523 nyawa di negara itu.
Bank Negara China dalam satu sidang media memberitahu, institusi kewangan itu menggunakan cahaya ultraungu atau suhu tinggi untuk membasmi kuman pada wang kertas Yuan sebelum mengasingkan dan menyimpan wang tunai itu selama tujuh hingga 14 hari.
Bagaimanapun, tempoh pengasingan sebelum ia digunakan semula bergantung kepada tahap keseriusan wabak di wilayah terbabit.
Setakat ini, Covid-19 yang menjangkiti 66,492 orang di China dan menular ke lebih 20 negara dunia mencetuskan usaha terdesak dan tergesa-gesa untuk membasmi kuman di tempat awam serta meminimumkan hubungan antara individu.
Timbalan Gabenor Bank Negara China, Fan Yifei berkata, bank juga digesa untuk menyediakan wang kertas baharu kepada pelanggan.
Sebelum sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, bank pusat melakukan pengeluaran kecemasan wang kertas baharu sebanyak empat bilion Yuan (RM2.3 bilion) ke wilayah Hubei yang juga pusat wabak itu.
"Langkah ini bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai apabila menggunakan wang tunai," katanya.
Meskipun begitu, impak ke atas usaha membasmi kuman pada wang kertas masih belum jelas memandangkan sejak beberapa tahun lalu rakyat China lebih memilih untuk menggunakan pembayaran mudah alih berbanding wang tunai.
Dalam kaji selidik syarikat penyelidikan pasaran Ipsos pada 2017, hampir tiga perempat responden Cina memberitahu mereka boleh bertahan sepanjang bulan tanpa menggunakan wang tunai lebih 100 Yuan (RM59.27).
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Covid-19 boleh disebarkan melalui objek tercemar selain titisan dan kontak langsung dengan pesakit yang dijangkiti.
Sejak dikesan di bandar Wuhan pada Disember lalu, Covid-19 mencatatkan 1,527 kematian dan 67,169 kes yang disahkan di dalam dan luar China. - AFP