Crystal Palace lebur rekod tanpa kalah Brighton di Stadium Amex

Iklan
Kemenangan Crystal Palace ke atas Brighton di Stadium Amex menjarakkan Eagles dari zon penyingkiran. Foto Agensi

ISMAILA Sarr meledak dua gol ketika Crystal Palace menewaskan seteru utama Brighton & Hove Albion 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex.

Dua jaringan pemain sayap The Eagles menyaksikan The Seagulls mengalami kekalahan pertama di tempat sendiri dalam saingan liga musim ini.

Iklan
Iklan

Crystal Palace bimbingan Oliver Glasner yang tidak tewas dalam lima aksi liga terakhir, naik ke tangga ke-15 liga dengan 16 mata hasil 16 perlawanan.

Eagles kini berada empat mata di hadapan kelab zon penyingkiran Ipswich Town yang menduduki tempat ke-18.

Iklan

Brighton asuhan Fabian Hurzeler pula jatuh ke tangga kesembilan dengan 24 mata, empat di belakang Nottingham Forest yang menduduki tempat keempat.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan permainan menghiburkan dengan bintang Jepun, Kaoru Mitoma hampir membuka jaringan dalam masa tiga minit, namun dinafikan kecemerlangan penjaga gol Palace, Dean Henderson.

Iklan

Gawang Brighton akhirnya bolos hasil asakan pasukan pelawat apabila rembatan bek tengah Trevoh Chalobah menjelmakan gol pertama Crystal Palace minit ke-27 sebelum Ismaila melebarkan jaringan minit ke-33.

Ismaila terus menjadi duri dalam daging buat Brighton apabila menghadirkan jaringan keduanya pada minit ke-82 sebelum bek tengah Marc Guehi menjaringkan gol sendiri pada minit ke-87.

Kemenangan itu secara tidak langsung motivasi kepada Crystal Palace yang akan berkunjung ke Stadium Emirates, laman gergasi Inggeris, Arsenal dalam suku akhir Piala Liga pada Khamis ini.

Brighton pula akan ke Stadium London untuk perlawanan liga berdepan West Ham United pada Sabtu.