SEPANG - Dua lelaki tempatan diberkas kerana disyaki mencuri sebuah motosikal di parkir sebuah hotel di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dua lelaki berusia 21 tahun dan 23 tahun itu ditahan Lurah Bilut, Bentong, Pahang pada jam11.30 malam Jumaat.
"Ia adalah hasil kerjasama sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bersama anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Lurah Bilut, Bentong, Pahang menerusi Op Lejang.
"Kita turut merampas tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebuah motosikal EX5 serta dua rangkai kunci motosikal," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh kedua-dua suspek adalah mereka mencari motosikal yang tidak berkunci.
"Mereka kemudian menunda motosikal curi itu ke sebuah rumah di Jalan Masjid Lama, Kampung Labohan Dagang, Banting, seterusnya suspek akan menukar kunci motosikal yang baharu.
"Motif mereka mencuri motosikal adalah untuk mendapatkan wang bagi kegunaan perbelanjaan harian dan membeli dadah," katanya.
Beliau berkata, semakan rekod jenayah mendapati hanya seorang daripada mereka memiliki tiga rekod jenayah berkaitan Dadah.
"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Mereka telah ditahan reman selama tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi balai polis berdekatan atau talian hotline IPD Sepang, 03-87774222," ujarnya.