Farid enggan cerai, mahu baiki hubungan dengan Diana Danielle

Iklan
Farid dan Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin bagi prosiding permohonan cerai.

KUALA LUMPUR –"Farid Kamil tidak bersetuju untuk menceraikan Diana Danielle dan cuba untuk memperbaiki hubungan mereka."

Demikian kata peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Susulan itu, Fakhrul Azman yang mewakili Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari berkata, Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamarudin memerintahkan kes ini diteruskan dengan lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 21 Januari tahun depan.

Katanya, pada tarikh berkenaan, Farid, 43, selaku defendan, perlu hadir ke mahkamah bersama wakil JKPnya.

Iklan

Diana selaku plaintif, dikecualikan kehadiran pada sesi berkenaan selepas melantik rakannya sebagai wakil JKP.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac tahun depan untuk sebutan semula dan laporan JKP bagi kedua-dua pihak.

Iklan

Dalam prosiding ini, Diana diwakili peguam syarienya, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Sebelum ini, pelakon filem ‘Imaginur’ itu meminta Farid menghormati permintaannya agar segera berpindah dari kediaman, memandangkan mereka bakal bercerai.

Bagaimanapun, Farid yang juga pelakon serta pengarah, menyifatkan kemelut rumah tangga itu sekadar perselisihan faham kecil.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi aplikasi ‘Google Meet’ pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk semula sebulan kemudian.

Tidak bertahan lama, rumah tangga pasangan ini diuji lagi, apabila Diana memfailkan permohonan cerai buat kali kedua terhadap Farid pada 4 November lalu.