LANGKAWI - Tidak berputus asa mencari rezeki setelah diuji menghidap ulser vena di betis kiri membuahkan hasil apabila perniagaan 'restoran' Abang Tingkap yang beroperasi di rumah di Kuah di sini mendapat sambutan luar biasa.
Tukang masak restoran, Mohd Ramli Mat Zin, 46, berkata, idea jualan nasi, mi dan kuetiau goreng itu bermula pada penghujung Ogos 2024 apabila wang simpanan semakin surut kerana dia terpaksa mengambil cuti sakit tanpa gaji.
"Selepas disahkan hidap ulser vena 100 peratus di betis kiri, memang saya cuba untuk cari pekerjaan lain yang lebih ringan tetapi tiada rezeki. Hinggalah suatu hari, saya dan isteri bercadang untuk buat bisnes kecil-kecilan.
"Di awal kami mula dulu... nasi lima pot pun termenung fikir macam mana nak habiskan tetapi alhamdulillah dengan pertolongan ALLAH dan kuasa tular di TikTok, tempahan yang diterima meningkat dua kali ganda," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Ramli memaklumkan, sambutan luar biasa itu merupakan rezeki yang tidak pernah disangka sehinggakan dia terpaksa mengehadkan jumlah pesanan setiap hari bagi menjaga kualiti jualan.
Ujarnya, pelanggan yang hadir ke 'restoran' kecilnya itu bukan sahaja kaum Melayu, malah ada juga pelanggan tetap berbangsa Cina dan India.
"Lebih mengujakan apabila ada pelancong dari Korea Selatan pun datang beli kerana kuasa tular.
"Pada masa sama, ada juga hamba ALLAH yang buat tempahan untuk kenduri tahlil dan infaq. Daripada situ pun saya dah berasa syukur sangat.
"Alhamdulillah, bila tempahan meningkat barulah kadar keuntungan itu nampak... saya dah tak perlu risau fikir bagaimana nak pusing modal dan sudah boleh mula menyimpan semula.
"Terima kasih kepada semua yang menyokong perniagaan kecil saya, hanya ALLAH saja yang mampu balas budi baik anda semua," katanya.