KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kedai makan berputih mata apabila kerugian sebanyak RM50,450 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 53 tahun itu telah melihat satu iklan pelaburan di Telegram yang menawarkan pulangan keuntungan lumayan pada 30 November lalu.
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah menghubungi seorang individu melalui aplikasi tersebut dan bersetuju untuk membuat modal pelaburan permulaan RM1,000 dengan pulangan RM23,000.
"Kemudian mangsa diminta mengisi satu borang secara dalam talian yang mengandungi maklumat serta butiran peribadi.
"Setelah mengisi borang tersebut, mangsa bertindak membuat lapan kali pemindahan wang berjumlah RM50,450 sebagai modal pelaburan keempat akaun berbeza bermula 30 November sehingga 5 Disember lepas," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Bagaimanapun Azli berkata, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
"Mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis pada Ahad lalu.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.