SHAH ALAM - Satu lagi kes baharu positif membabitkan wabak koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 22 kes.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan tadi.
Menurutnya, mangsa membabitkan seorang wanita warga Amerika Syarikat berusia 83 tahun yang masuk ke Malaysia semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Dia dan suaminya antara 145 penumpang kapal yang berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lalu dan mengambil penerbangan ke Malaysia semalam.
"Dia dan suaminya dikesan bergejala sebaik tiba di KLIA dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut. Suami wanita itu pula disahkan negatif virus itu.
Dr Noor Hisham berkata, pasangan tersebut menaiki penerbangan ke Malaysia untuk pulang ke negara mereka.
"Wanita itu dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan," katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan dua lagi kes positif virus Covid-19 disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 21 kes.
Dua kes terbaru itu melibatkan seorang lelaki dan wanita warga China.
"Kes ke-20 ialah seorang ahli perniagaan lelaki berusia 27 tahun dari Guangzhou yang dikesan bergejala ketika melalui saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, katanya.