'Sanggup cari akaun media sosial, kemudian hina saya'

Iklan
Shiqin tidak mahu lagi dikenali dengan watak penyondol atau orang ketiga.

KEBIASAANNYA, kejayaan seseorang pelakon itu bukan hanya diukur menerusi seberapa banyak anugerah dimiliki, tetapi juga sejauh mana dirinya disayangi atau dibenci penonton karya itu.

Namun ada ketikanya, kerana ruang dan peluang terhad, ada di antara pelakon yang terpaksa membawa karakter sama atas dasar kepercayaan oleh penerbit atau pun pengarah.

Iklan
Iklan

Begitu jugalah yang dilalui oleh aktres bermata bundar, Shiqin Kamal apabila ‘dibenci‘ peminat gara-gara lakonan berkesannya sebagai penyondol.

Cerita pemilik nama penuh Nur Ashiqin Mohd Kamal itu, beliau boleh menerima ‘kebencian‘ itu pada awalnya, namun mula terasa apabila ia menyentuh soal fizikal dan keluarga.

Iklan

"Pernah ketika berada dalam satu lif dengan seorang wanita ini, dia beberapa kali memandang saya dan tiba-tiba memberitahu membenci saya kerana tidak suka dengan karakter yang saya jayakan.

"Bukan itu sahaja, ada yang menghantar mesej terus ke akaun media sosial saya dan mengutuk fizikal, menyumpah dan tidak kurang menyentuh perihal keluarga.

Iklan

"Jika satu atau dua komen, saya boleh terima, tetapi lama-kelamaan rasa komen yang ditinggalkan tidak bijak kerana mereka sanggup cari akaun media sosial, kemudian hina saya. Walhal, saya hanya menjayakan sesuatu watak itu, bukannya terjadi betul-betul," katanya.

Shiqin bergandingan dengan Beto dalam filem terbaharu arahan Adrian Teh berjudul Reversi.

Shiqin berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem terbaharu lakonannya, Reversi di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun jauh di sudut hati selebriti berusia 33 tahun itu, beliau mengidam untuk mencuba watak berbeza agar memberi lebih variasi.

Namun peluang itu tidak datang bergolek kerana kebanyakan pengkarya melihatnya hanya sesuai dengan satu watak - antagonis.

"Saya mengharapkan agar era penyondol itu berakhir dan tidak lagi diberikan watak perosak rumah tangga.

"Bukan bermaksud saya menolak rezeki, tetapi apabila sudah kerap melakonkan watak sama, saya sudah tahu perjalanan watak dan cerita itu akan ke mana.

"Jadi saya mengharapkan ada pengkarya yang berani untuk buat skrip yang berbeza dan lebih bijak. Kepada pengkarya, tolong beri kepercayaan kepada kami untuk cuba watak berbeza," jelasnya.

Ditanya watak bagaimana diidamkan, pelakon yang memulakan debut menerusi filem Lagenda Budak Setan itu mengimpikan menjadi ‘Angelina Jolie Malaysia‘.

"Kalau diberi peluang saya mahu menjadi seperti Angelina Jolie menjayakan watak aksi atau pengintip. Sekiranya memerlukan saya korbankan masa menjalani latihan fizikal, atau diet makanan ketat pun saya sanggup.

"Bagi saya sudah tiba masanya untuk lakukan perubahan dan memperbanyakkan karya yang mempamerkan kekuatan dan kehebatan wanita," katanya.

Berguru

Dalam pada itu, mengulas penglibatannya dalam filem terbaharu arahan Adrian Teh, Shiqin berkata, beliau terkejut pada awalnya apabila diberi kepercayaan bergandingan dengan nama besar lain iaitu Beto Kusyairi, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani dan Zahiril Adzim.

Demi memberi terbaik dalam Reversi, Shiqin sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk memasuki kelas lakonan.

Ujarnya, kagum melihat keterbukaan hero gandingannya, Beto untuk berbincang mengenai watak dan pembinaan karakter, membuatkan beliau memasuki kelas lakonan bersama aktres Fatimah Abu Bakar.

"Pertama kali jumpa Beto, dia sangat mesra. Dia beri peluang saya berdiri sebelah dia, datang tegur saya, berbincang dan beri idea.

"Jadi, saya cadang pada pengurus untuk memasuki kelas lakonan bersama cikgu Fatimah. Hari pertama memang saya pening kerana tidak biasa mengikuti kelas lakonan. Masuk hari kedua dan seterusnya bila sudah dapat rentak semua dipermudahkan untuk saya," jelasnya yang turut mengajak Fatimah ke lokasi penggambaran ketika menjayakan salah satu babak sukar.

Tambah Shiqin, filem Reversi juga dikategorikan sebagai salah satu karya bijak daripada Adrian kerana melibatkan pengembaraan masa dan jalan cerita yang berbeza.

Malah beliau berharap usaha yang dilakukan sedikit sebanyak membuka mata penonton terhadap lakonannya.

Reversi bakal menemui penonton di pawagam bermula 19 Disember ini.