Pemain JDT dituntut pamer aksi lebih konsisten

Iklan
Pemain JDT perlub lebih agresif dalam usaha melakar kejayaan ketika berdepan Sri Pahang FC Selasa ini - Foto: FB Johor Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio menuntut kesebelasan pemain untuk mempamerkan aksi lebih konsisten ketika berdepan Sri Pahang FC bagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Menurut Bidoglio, biarpun beraksi sebagai 'pelawat' namun setiap pemain dituntut untuk tampil lebih agresif berbanding ketika berdepan Kuala Lumpur City FC pada aksi suku akhir Piala Malaysia, selepas sekadar melakar kemenangan tipis 2-1 baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya, setiap perlawanan yang diharungi bakal menjelmakan kelainan kerana selepas aksi Piala Malaysia, JDT perlu memberi tumpuan kepada saingan liga dan pemain perlu fokus kepada diri sendiri bagi menghadapi skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

"Malah banyak perkara yang harus kami perkemaskan apabila berdepan Sri Pahang terutamanya skil permainan individu yang tidak berkesan ketika menentang KL City selain perlu tingkatkan lagi corak permainan berintensiti tinggi.

Iklan

"Kami juga perlu memperkemaskan benteng pertahanan dan saya agak terkilan selepas KL City mampu menjaringkan gol malah ia boleh dielak jika pemain pertahanan memberi lebih fokus dan mengawasi setiap pemain lawan," katanya.

Untuk rekod pertemuan, JDT menang 3-0 ke atas Sri Pahang FC pada aksi Liga Super 22 Jun lalu.

Iklan

Sementara itu, Bidoglio menegaskan barisan pemain JDT juga perlu berwaspada dengan ancaman Sri Pahang FC yang dilihat bagai mendapat tonik semangat setelah menang tipis 1-0 ke atas Perak FC dalam saingan suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

"Kami mahu menang dalam perlawanan ini, jadi barisan pemain tidak boleh terlalu selesa dan perlu beraksi dengan lebih mantap," katanya.