ALOR GAJAH - Pemandu Perodua Axia yang tular memandu secara melulu dan merbahaya dengan aksi zig-zag di Kilometer 216 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pada awal bulan ini telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas pihaknya mengesan video berdurasi satu minit sembilan saat itu yang memaparkan cara pemanduan individu terbabit kira-kira jam 3.20 petang, pada 4 Disember lalu.
Menurutnya, video berkenaan didapati tular melalui aplikasi TikTok yang menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna lebuh raya.
"Kereta itu dipandu secara zig zag ke kiri dan kanan yang dipercayai berlaku di lebuh raya sehingga membahayakan pengguna lain.
"Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Berdasarkan video terbabit pemandu kereta tersebut seolah-olah dalam keadaan separa sedar ke kiri dan kanan jalan sehingga turut melanggar besi pengadang kiri lebuh raya.
Kenderaan itu juga hampir terbabas ke dalam longkang namun sempat mengelak sebelum kembali semula ke lorong tengah dan kanan lebuh raya.
Malah beberapa pengguna jalan raya turut menegur perbuatan individu terbabit selepas dia memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan.