Ibu dalam pantang nekad redah banjir

Iklan
Nur Izzaty (kiri) bersama bayi dan ibunya, Fauziah semasa ditemui di Taman Seri Utama, Jitra pada Isnin.

JITRA - Kejadian banjir yang melanda Kubang Pasu pada hujung November lalu memberikan pengalaman berbeza kepada seorang ibu yang masih dalam berpantang.

Nur Izzaty Mohd Bukhari, 27 berkata, dia pulang ke Taman Seri Utama, di sini untuk berpantang selepas melahirkan anak sulung sejak Oktober lalu manakala suaminya, Abdul Hadi Mohd Yami, 24, pula bekerja di Sepang, Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian, dia hanya memikirkan bayi perempuannya, Isma Hajar Abdul Hadi yang kini berusia 77 hari dan mengambil keputusan untuk meredah air bersama ibunya, Fauziah Dahlil, 60 untuk ke kawasan lebih selamat.

"Pada hari kejadian, air mula penuh di bahagian depan rumah sekitar jam 7.30 malam namun lebih sejam kemudian air terus masuk ke dalam rumah.

Iklan

"Waktu itu pusat pemindahan sementara (PPS) belum buka lagi, jadi saya ajak ibu untuk menyewa di sebuah hotel bajet tidak jauh dari sini satu hari sebelum mendaftar masuk ke PPS pada esok hari," katanya semasa ditemui di rumah ibunya di Taman Seri Utama, di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Ibu Nur Izzaty, Fauziah Dahlil, 60, pula berkata, semua perabot dan barangan elektrik dalam rumahnya tidak sempat diselamatkan dan tenggelam di dalam air.

Iklan

Menurutnya, kejadian banjir tersebut adalah kali ketiga dan paling tinggi iaitu lebih kurang dua meter berbanding pada September dan Oktober lalu.

"Banjir kali ini memang agak teruk juga dan semua barang dalam rumah seperti perabot rosak tapi banjir pada 2010 lagi teruk," ujarnya.

Nur Izzaty dan Fauziah merupakan mangsa banjir daripada 900 keluarga yang terkesan di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar menerima bantuan bakul makanan dan keperluan rumah oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)

Bantuan disampaikan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SKM Prihatin dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Komunikasi Komuniti Negeri Kedah.

Menurut Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, M Shanmugam, program tersebut bertujuan meringankan beban mangsa banjir melalui penyediaan barangan keperluan asas dan sokongan kepada komuniti serta anggota koperasi yang terjejas akibat banjir.

Shanmugam (tengah) semasa menziarahi Fauziah (tiga kiri) di Taman Seri Utama, Jitra pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua 900 set bakul makanan itu bernilai keseluruhannya RM60,000 manakala setiap keluarga menerima bakul makanan bernilai RM150 seorang.

"Selain CSR dan SKM, Gerakan Koperasi Negeri Kedah dan Pulau Pinang turut menyumbang sebanyak RM20,000," tambahnya.

Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) pula berkata, pihaknya sudah merangka pelan untuk membantu negeri-negeri yang terjejas oleh banjir, termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, dan Kedah.

Jelasnya, Kedah adalah negeri kelima yang menerima bantuan kerana banyak kawasan yang terjejas, dan SKM turun untuk membantu secepat mungkin.

"Di Kelantan, beberapa kawasan masih terjejas teruk, jadi kami masih menunggu keadaan reda sebelum masuk membantu.

"Kami menerima data dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan berdasarkan data itu, kami turun ke lapangan," katanya lagi.