Ali XPDC penuhi undangan sehari selepas keluar hospital

Iklan
Keadaan Ali beransur pulih ketika hari kedua dirawat di Hospital Cyberjaya.

DEMI memenuhi janji undangan, penyanyi Ali XPDC meminta kebenaran untuk keluar lebih awal selepas empat hari mendapatkan rawatan di Hospital Cyberjaya.

Jelas isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 52, ketika dibawa ke hospital pada 1 Disember lalu, doktor memaklumkan Ali atau nama penuhnya Mohd Ali Ismail perlu ditahan di wad untuk tempoh lima hari.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya, doktor tidak benarkan kerana bimbang dia akan kembali sesak nafas, tetapi memandangkan keadaannya bertambah baik dan nampak segar sepanjang berada di wad, jadi akhirnya doktor izinkan untuk keluar.

"Selepas memenuhi undangan di Kunak, Sabah, suami kemudiannya ke Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lalu kerana jemputan makan malam bersama beberapa ustaznya.

Iklan

"Walaupun bimbang, suami maklumkan dia dalam keadaan baik sepanjang tempoh itu," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya punca sebenar Ali, 56, mengalami sesak nafas sebelum ini, Sharifah Azuwanna berkata, vokalis kumpulan XPDC itu menghadapi masalah paru-paru berair dan jantung bengkak.

Iklan

Justeru, Ali perlu mendapatkan pemeriksaan susulan di Hospital Serdang selepas ini.

"Ketika dibawa ke hospital, suami pada mulanya dimasukkan ke zon kuning, tetapi ketika doktor memberikan rawatan, dia menjerit dan memaklumkan sukar bernafas.

"Jadi doktor pindahkan ke zon merah dan beri bantuan oksigen. Bagaimanapun hari kedua berada di wad, abang Ali nampak semakin sihat dan segar, sehinggakan boleh mandi sendiri.

"Jelas doktor, mungkin disebabkan kesukaran bernafas, jantungnya sedikit bengkak dan perlu jalani pemeriksaan susulan di Hospital Serdang selepas ini," ujarnya.

Tambah Sharifah Azuwanna, walaupun bimbang dengan keadaan kesihatan suaminya itu, dia hanya mampu mengingatkan Ali untuk tidak culas mengambil ubat-ubatan yang ditetapkan.

"Memang saya nasihat dia untuk berehat sahaja di rumah, tetapi dia kata dia sihat dan okay. Jadi saya hanya doakan yang terbaik.

"Lagipun dia ke luar daerah bersama ustaz-ustaz. Saya tidak dapat mengiringi suami, jadi saya hanya telefon untuk ingatkan dia makan ubat," jelasnya.

Terdahulu, Ali dimasukkan ke Wad Kecemasan Hospital Cyberjaya selepas mengalami sesak nafas, baru-baru ini.

Ali sebelum ini pernah dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 10 Julai lalu akibat masalah sama.