KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk 752 suri rumah di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM90,240.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim, berkata, caruman RM120 setiap seorang itu bertujuan memberi perlindungan sekiranya berlaku bencana domestik atau hilang upaya semasa menguruskan rumah tangga.
"Caruman RM120 atau RM10 sebulan ini dibuat untuk tempoh setahun.
"Kerajaan negeri mahu memberikan banyak faedah kepada suri rumah dengan mencarum skim perlindungan sebagai persediaan jika mereka ditimpa musibah semasa menjalankan khidmat kepada keluarga masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian selepas simbolik penyampaian caruman kepada penerima di sini pada Isnin.
Beliau berkata, caruman dilakukan secara terus kepada PERKESO berbanding pemberian berbentuk tunai RM100 pada 2020 dan 2021 serta RM200 pada 2023 kepada penerima.
"Pemberian dan caruman ini dilaksanakan melalui penubuhan Skim Cakna Suri di bawah kerajaan negeri ini.
"Bermula pada 2020 hingga kini, seramai 27,671 suri rumah di Kelantan menerima manfaatnya,” katanya.
Tambah Rohani, pihaknya berharap penerima skim akan meneruskan caruman secara kendiri selepas tamat tempoh setahun perlindungan yang dibiayai oleh kerajaan negeri.
"Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin ke arah peningkatan kualiti hidup suri rumah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, berkata, pihanya menyasarkan 16,000 pencarum SKSSR dan jumlah itu mencapai 36 peratus ketika ini.
"Kerajaan negeri amat memberi kerjasama baik dengan PERKESO melalui penyediaan dana caruman sekali gus membantu para suri rumah jika berlaku sebarang kecederaan semasa di rumah,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Nora Ismail, 48, sangat menghargai usaha itu kerana dapat membantu meringankan bebanan dan tekanan yang dihadapi oleh suri rumah.
"Suami saya bekerja sebagai tukang cat dan perlu menyara enam anak paling muda enam tahun.
"Skim ini dapat membantu kerana saya sendiri pernah terjatuh dan bengkak lutut akibat lantau licin ketika menjemur baju,” katanya.