PARIS - Sedekad selepas serangan berdarah ke atas pejabat Charlie Hebdo yang menggemparkan Perancis, majalah satira mingguan itu sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menganjurkan pertandingan karikatur mempersenda Tuhan.
Majalah yang menyokong fahaman ateis itu mengundang para kartunis untuk menunjukkan bakat mereka dalam bentuk provokasi melampau kononnya sempena memperingati kematian lapan staf mereka yang maut ditembak dalam kejadian pada 7 Januari 2014 setelah ia menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad.
Pertandingan itu dilancarkan pada bulan lalu dan sasaran utama mereka adalah mereka yang sudah jelak dengan hidup berpaksikan agama dan Tuhan serta unsur baik dan jahat.
Charlie Hebdo bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah penyertaan yang telah diterima setakat ini.
Sejak penubuhannya pada 1970, majalah satira itu berulang kali melangkaui had kebebasan bersuara di Perancis yang membenarkan kritikan dan perbuatan mempersenda agama.
Tetapi, perbuatan melampaui batas Charlie Hebdo yang sengaja mengaitkan Islam dengan isu kontroversi telah menyinggung perasaan kebanyakan Muslim malah mencetuskan Islamofobia.
Ia turut menerbitkan karikatur menghina agama lain termasuk Kristian.
Terbaharu, pertubuhan Katolik memfailkan dua tuntutan undang-undang sebagai respons tegas terhadap penerbitan karikatur Virgin Mary yang menderita virus Mpox pada Ogos lalu. - AFP