KUALA LUMPUR - Sebanyak 56,294 kandungan berunsur penipuan diturunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Januari hingga 1 Dis lepas, sebagai usaha membanteras jenayah dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah penurunan kandungan itu meningkat berbanding 6,297 kandungan pada 2023 dan 242 kandungan pada 2022.
Malah, beliau berkata, Malaysia turut merekodkan kerugian sebanyak RM1.224 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini akibat penipuan dalam talian.
"Bukannya kementerian tak berusaha untuk turunkan kandungan yang berunsur penipuan... tetapi, pada masa yang sama kita tak nampak ia pendekatan efektif.
"Sampai tahap Meta mengizinkan scammer menyamar sebagai AGC (Jabatan Peguam Negara) dan buat hantaran Facebook bahawa AGC kini ada pasukan petugas khas untuk membantu mangsa penipuan dapat semula kerugian mereka.
"Saya rasa hal ini keterlaluan, sudah tentu selepas bantahan kami, Meta menurunkan kandungan itu, namun ia menunjukkan bahawa prosedur saringan oleh Meta bermasalah kerana bagaimana anda boleh membenarkan iklan yang mengatakan mereka AGC?... tanpa memeriksa latar belakang dengan teliti,” katanya.Beliau berkata demikian selepas melancarkan kertas putih bertajuk Teens, Tech and Trust: Navigating Social Media in Malaysia, oleh Social and Economic Research Initiative (SERI) di sini hari ini.
Sebelum ini, Teo memaklumkan MCMC telah mengenal pasti 274 iklan di Facebook yang menyamar sebagai AGC dan mendakwa ia berpunca daripada penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) yang berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, beliau berharap pindaan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 akan mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Negara bagi mewujudkan dunia Internet yang selamat untuk seluruh rakyat.
Terdahulu semasa berucap, Teo berkata kertas putih SERI mengkaji tentang kerumitan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja dan memberikan saranan bernilai untuk menangani risiko sambil mengekalkan manfaatnya.
Menyedari kepentingan mereka bentuk semula pelaporan dan sistem sokongan untuk remaja, Teo berkata mekanisme pelaporan yang dipermudah dan sokongan kesihatan mental sepanjang masa dapat memastikan remaja dilindungi dan diperkasakan apabila menghadapi bahaya dalam talian.Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan literasi digital, bahawa memperluas usaha melangkaui sekolah dan ke dalam rumah akan memperkasakan remaja untuk lebih memahami dan mengendalikan risiko yang berkaitan dengan media sosial menerusi kaedah lebih bertanggungjawab.
"Sebagai pembuat dasar, saya mengiktiraf keperluan penting untuk kerjasama komprehensif dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
"Meningkatkan penyelarasan dalam kalangan agensi kerajaan, penyedia platform dan masyarakat umum ialah langkah praktikal dan perlu ke arah membangunkan tindak balas yang lebih berkesan terhadap bahaya dalam talian yang dihadapi remaja, dalam kaedah holistik dan mampan.
"Saranan ini menawarkan asas yang kukuh untuk dasar dan inisiatif masa depan bertujuan memupuk keselamatan dan kesejahteraan dalam talian,” katanya. - Bernama