Tular rompak bersenjatakan lastik, seorang lelaki ditahan

Iklan
Rompakan bersenjata menggunakan lastik berlaku di sebuah kedai runcit di pekan Kota Belud.

KOTA BELUD - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan susulan tular satu video kejadian rompakan bersenjatakan lastik di sebuah premis di sini yang berlaku pada Rabu lalu.

Suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan di Kampung Kuala Abai, di sini pada jam 4.47 petang Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya terkesan dengan satu video tular berdurasi 59 saat yang dikongsikan di laman Facebook pada pagi Ahad.

"Video tular itu berkaitan rompakan yang memaparkan dua lelaki memakai topi keledar dan menggunakan senjata jenis lastik bertindak memecah masuk sebuah kedai runcit di pekan Kota Belud.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 4 pagi Rabu lalu di mana kedua-dua lelaki terbabit berjaya mengambil sejumlah wang yang diletakkan di dalam laci kedai berkenaan dan berlaku pergelutan, namun tiada kecederaan serius berlaku terhadap mangsa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, salah seorang suspek berjaya dikesan dan ditangkap bagi membantu siasatan.

Iklan

"Suspek ditangkap di rumahnya hari ini dan disiasat lanjut dilakukan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Shahrudin dalam pada itu meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai kes iaitu Inspektor Izhafizan Haron di talian 014- 6318003.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini yang boleh menganggu siasatan," katanya.