PASIR MAS - Banjir buruk yang sering melanda penduduk di beberapa buah kampung berhampiran Sungai Golok sejak pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) menyebabkan mereka sudah tidak mempunyai barangan untuk dibuang.
Penduduk, Muhamat Norwiraazizan Maad, 39, berkata, hal ini kerana ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan penduduk di sini selepas mereka mendapati tiada barangan yang rosak akibat banjir dibuang atau dilonggokkan di hadapan rumah.
"Kami sudah tiada barang yang hendak dibuang. Sejak 2022 lalu setiap tahun berlaku banjir yang teruk sehingga sekarang rumah penduduk kosong tanpa sebarang perabot.
"Penduduk di sini kebanyakannya bekerja kampung. Duit bantuan banjir yang diterima bukannya banyak, cukup untuk meneruskan kehidupan kerana banjir di sini bukan sekali tetapi ada sehingga tiga kali berlaku dalam setahun," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut dia, penduduk sudah penat kerana banjir di sini mencecah sehingga lebih tiga meter malah tempat tinggi juga telah tenggelam baru-baru ini.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Serongga, Che Harun Awang memberitahu, penduduk sudah tidak mampu untuk bertahan dengan banjir yang dahsyat setiap tahun.
Ujarnya, sebelum ini sepanjang musim tengkujuh air melimpah tetapi hanya di hadapan rumah dan hanya sekitar 0.3 meter sahaja.
"Tetapi sejak tiga tahun ini semua rumah penduduk di sini sekitar 300 orang boleh dikatakan semuanya hanya nampak bumbung sahaja.
"Kami sudah penat, marah, serta berputus asa. Sampaikan tiada benda yang kami boleh kutip buang disebabkan tenggelam air kerana semuanya telah habis dibuang," katanya.
Che Harun memberitahu, mereka kini bersedia untuk menghadapi gelombang kedua dan ketiga yang dijangkakan akan berlaku bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, beliau lega apabila Oktober lalu badan bukan kerajaan, Crisis Relief Services and Training (CREST) melalui Disaster Relief Network (KDRN) telah memberikan rakit kepada penduduk yang terkesan dengan banjir buruk.
"Rakit yang berharga sekitar RM2,500 setiap satu itu telah berjaya menyelamatkan barangan berharga penduduk seperti barangan elektrik, perkakas dapur, barangan surau dan sebagainya.
"Mujurlah ada rakit, tapi sampai bila. Kami berharap ada penambahbaikan yang akan dibuat oleh kerajaan sama ada pusat atau negeri untuk membantu penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok," katanya.
Warga emas, Bidah Che Noh, 75, memberitahu, sepanjang hidupnya tiga tahun inilah yang paling memenatkan serta menyedihkan apabila rumahnya hanya kelihatan bumbung sahaja setiap kali musim tengkujuh.
Ujarnya, barangan, pakaian semua rosak sehingga hanya mampu mengharapkan sumbangan ihsan daripada orang ramai.
"Pakaian saya adalah baju yang disedekahkan. Begitu juga barangan rumah, hendak beli baharu memang tidak mampu," katanya.