Gagal seludup tembakau, beras dan bijirin RM3.49 juta

Iklan
Norlela (empat dari kiri) menunjukkan antara rampasan produk tembakau di Pelabuhan Klang, 29 November lalu.

PETALING JAYA - Cubaan menyeludup masuk produk tembakau, beras dan bijirin bernilai RM3.49 juta gagal selepas tiga kontena yang membawa muatan itu ditahan di Pelabuhan Klang, Selangor.

Pembongkaran itu dilakukan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 (Kuala Lumpur) pada 29 November lalu.

Iklan
Iklan

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan rapi pada jam 5.15 petang ke atas tiga kontena terbabit menemui produk tembakau seperti tembakau kunyah dan serbuk tembakau seberat 7,303 kilogram (kg) bernilai RM3.12 juta termasuk cukai dan duti.

Norlela menunjukkan produk bijirin yang dirampas di Pelabuhan Klang, 29 November lalu.

"Selain produk tembakau, pasukan operasi turut menemui beras dan bijirin seberat 7,580 kg bernilai RM368,380.

Iklan

"Siasatan mendapati barang dagangan ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Selatan," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di Kelana Jaya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, JKDM percaya barangan tidak bercukai ini adalah untuk pasaran tempatan.

Iklan

Katanya, modus operandi penyeludupan ini ialah mengikrar dagangan sebagai 'assorted food beverage' yang merupakan dagangan tidak memerlukan permit import.

"Tiga ejen penghantaran telah dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," ujarnya.

Norlela menunjukkan pil disyaki ekstasi yang dirampas JKDM, Julai lalu.

Dalam kes berasingan, JKDM Zon Tengah Unit 1 (Kuala Lumpur) merampas satu bungkusan dari luar negara yang disyaki mengandungi pil ekstasi seberat 0.43 kg bernilai RM71,810 di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambah Norlela, bungkusan kotak itu dirampas pada jam 1 petang, 29 Julai lalu.

"Siasatan mendapati bungkusan itu tiba dari negara Eropah dan dihantar ke alamat di Petaling Jaya, Selangor. Namun semakan dibuat mendapati alamat berkenaan tidak wujud," ujarnya.

Jelasnya, modus operandi penyeludupan dadah mula berubah dan tidak melalui kargo atau penumpang sebaliknya kuantiti dadah itu dikecilkan sekitar 300 hingga 500 gram bagi setiap bungkusan dan dihantar melalui kurier.

"Kita akan memperketat pemeriksaan termasuk menggunakan unit anjing pengesan di Pusat Mel dan kurier bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah," katanya.

Tegas Norlela, JKDM meminta orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.