SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa negara sudah kehilangan Batu Puteh sebelum bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah Malaysia pada tahun 1981.
Dakwa beliau, wujud surat kenyataan rasmi bertarikh 21 September 1953 kepada Setiausaha Kolonial di Singapura berhubung penyerahan terumbu Batu Puteh kepada Singapura oleh kalangan tertentu yang pendek akal.
Menurutnya, tindakan yang kurang cerdik itu ditutup oleh pembohong dan penipu dengan cara terbuka.
"Ia laksana menudung bangkai dengan tapak tangan kecil bagi menyalahkan Tun Mahathir yang tidak ada kaitan menyerahnya kepada penjajah.
"Parlimen ‘diperkudakan’ menjadi penipu secara lakonan dengan memaksa Dr Mahathir menjadi hero dituduh, sedangkan hero sebenar yang menipu berlindung di belakang pentas Parlimen,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam laporan diedarkan kepada ahli Parlimen, mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Bagaimanapun, Dr Mahathir mempertahankan tindakan tersebut sebagai keputusan bersama atau secara kolektif kesemua anggota Kabinet ketika itu, bukannya keputusan beliau bersendirian.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perkara paling menarik dalam hal berkenaan adalah pelakon tambahan terdiri daripada orang Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
"Adapun DAP yang terkenal lantang bersuara tidak perlu bersuara kerana ada khadamnya.
"Nampak tidak setianya kepada negara dan lebih rela kepada negara asing. Tidak mengenang budi diberi kerakyatan walau sifat pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah,” ujarnya.