Segerakan siasatan kes isyarat lucah polis, jelaskan kepada orang awam

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung siasatan yang dilakukan terhadap anggota PDRM yang didakwa tunjuk isyarat lucah. Gambar kecil: Chean Chung

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara adil dan telus berhubung anggota yang didakwa melakukan isyarat lucah terhadap seorang wanita dalam satu protes di ibu negara, Jumaat lalu.

Beliau berkata, sekiranya tindakan tidak senonoh tersebut terbukti benar-benar berlaku, ia akan mencemarkan nama baik PDRM dan kerajaan sekali gus melanggar tata etika sebagai anggota.

Iklan
Iklan

Menurut ahli Parlimen Petaling Jaya itu, polis sepatutnya menjadi pelindung dan penjaga rakyat bahkan sebagai penguatkuasa undang-undang, tindakan melanggar undang-undang sedemikian dianggap penghinaan terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

"Bagaimanapun, saya puji keberanian wanita terbabit tampil beri keterangan terhadap anggota polis yang didakwa melakukan perbuatan itu.

Iklan

"Meskipun kejadiannya tidak berlaku dalam kawasan Parlimen saya, tetapi saya berpendirian insiden sebegini tak boleh dibiarkan berlaku kepada mana-mana wanita lain pada masa hadapan.

"Saya turut meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tampil beri penjelasan kepada orang awam mengenai hasil siasatan dan kembalikan keyakinan bahawa insiden seperti ini tidak berulang lagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, tular satu hantaran di Instagram apabila wanita bernama Intan mendakwa seorang anggota polis menunjukkan isyarat lucah kepadanya ketika dia sedang mengambil gambar dalam satu protes mengenai hak asasi manusia.

Rentetan daripada kejadian tersebut, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman memulakan siasatan terhadap anggota berkenaan dan meminta mangsa membuat laporan polis.