Dua RUU tangani isu buli diluluskan Dewan Negara

Iklan
Kulasegaran. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024 bagi menangani isu buli.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, pindaan itu antara lain terpakai dalam kes menyebabkan mangsa terganggu, distres, ketakutan atau kebimbangan.

Iklan
Iklan

"Peruntukan yang dicadangkan (dalam pindaan) turut merangkumi kesalahan dilakukan hingga menyebabkan mangsa percaya bahawa ia akan menimpa dirinya atau orang lain.

"Pindaan ini akan memudahkan tindakan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk menyiasat memandangkan wujudnya undang-undang khas bagi pelaku dapat dituduh.

"Selanjutnya, peruntukan ini bukan hanya merangkumi kecederaan secara fizikal sahaja, ia terpakai kepada kesalahan dilakukan hingga menyebabkan mangsa merasa terganggu, distres, ketakutan atau kebimbangan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Negara hari ini.

Iklan

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas enam Senator, antara lain mencadangkan subseksyen baharu 507D (2) bertujuan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang dalam apa-apa cara yang menggunakan perkataan atau komunikasi mengugut, menghina atau mencela dengan niat memprovokasi seseorang dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau orang lain.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Iklan

Subseksyen itu juga memperuntukkan bahawa jika orang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan dicadangkan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dewan Negara hari ini turut meluluskan RUU Kanun Tatacara Jenayah Pindaan (No 2) 2024 yang bertujuan memastikan keselarasan dengan pindaan Kanun Keseksaan.

Ia antara lain memperuntukkan kesalahan penetapan berkaitan keperluan waran tangkap, tempoh pengeluaran waran atau saman, ketetapan kesalahan boleh dijamin atau tidak, ketetapan kompaun dan hukuman maksimum bagi setiap kesalahan berkait jenayah buli. - Bernama