IPOH - Koperasi di Perak digesa segera merebut peluang yang terhidang menerusi beberapa projek mega yang sedang dan akan dibangunkan di negeri ini supaya tidak ketinggalan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa projek besar seperti kawasan Perindustrian Teknologi Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) memerlukan sumber bahan binaan seperti pasir dan tanah merah bagi pembinaannya.
Menurutnya, disebabkan itu koperasi harus mengambil peluang untuk menjadi pembekal kepada bahan-bahan keperluan itu dengan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.
"Saya dah sebut di banyak tempat, tapi atas meja saya tak ada koperasi minta (kemuka permohonan) lagi. Perkara ini mudah, kita tahu bahawa WISE ini nak buat jalan, dia perlu pasir, tanah merah, jadi (pihak pengurusan) WISE jumpa saya hari itu, dia kata dia memperuntukkan RM194 juta untuk pasir sahaja.
"Itulah saya kata, bagilah peluang kepada koperasi, jadi biarlah pihak koperasi mohon dan bekal pasir kepada WISE sekurang-kurangnya adalah keuntungan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2024 di Royal Perak Golf Kelab di sini pada Isnin.
Saarani berkata, jika koperasi tidak ada kepakaran atau pengalaman, mereka perlu mencari rakan kerjasama selain belajar demi keuntungan organisasi tersebut.
Jelasnya, bukan itu sahaja, koperasi juga boleh terlibat dengan pelbagai aktiviti perniagaan lain di kawasan-kawasan yang akan dibangunkan itu bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan direncanakan kerajaan.
Menurutnya, kerajaan negeri melihat jika projek-projek untuk pembangunan tersebut diberikan kepada kepada koperasi, manfaat akan diperoleh ahli yang ramai berbanding syarikat persendirian.
Dalam perkembangan lain, Saarani turut berbangga apabila 11 koperasi di Perak tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi tahun 2024.
Menurutnya, pencapaian itu, jelas membuktikan bahawa gerakan koperasi di Perak terus cemerlang dan mampu menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara.
"Kejayaan ini jelas membuktikan keupayaan koperasi untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang semakin rencam serta mampu memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan sebaik mungkin.
"Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada koperasi-koperasi lain untuk terus melangkah maju, meraih kejayaan yang lebih gemilang, dan memperkukuhkan lagi peranan koperasi sebagai pemangkin pembangunan negeri dan negara,” katanya
Beliau berkata, kesemua mereka juga diberikan insentif sebanyak RM5,000 bagi setiap koperasi yang berjaya sebagai penghargaan serta dorongan kepada koperasi lain untuk terus cemerlang.