SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggambarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai seorang yang laris di mana-mana parti politik.
Beliau berpendapat, ada sebab luar biasa menyebabkan Tengku Zafrul laku seperti ‘pisang goreng panas’.
"Sekarang parti politik macam syarikat korporat. Ada orang bertaraf ketua pegawai eksekutif (CEO) yang laku pergi ke mana-mana parti politik.
"Tidak mungkin sebab musabab itu ada unsur Titah Adendum yang Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh ingkari?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, selain desas-desus akan menyertai PKR, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut dikaitkan dengan spekulasi bakal menerajui Selangor menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar pada Ahad turut mengesahkan terdapat perbincangan awal bersama Tengku Zafrul berhubung perkara berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Tengku Zafrul yang menyatakan haknya untuk tentukan parti mana ingin disertai.
"Betul cakapnya. Hak beliau untuk tentukan parti mana mahu sertai. Ahli UMNO setakat boleh marah tetapi tidak boleh buat apa-apa.
"Kalau betul Tengku Zafrul sertai PKR, yang patut kena marah ialah PKR. Parti itu ada kuasa untuk tolak jika ia ada moral untuk jaga hati kawan apa lagi setia kawan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.