Dua lelaki Thailand lepas tembakan ke arah sempadan negara diberkas

Iklan
Tangkap layar video rakaman CCTV di sempadan negara di Padang Besar, Perlis mengenai kejadian tembakan oleh dua individu, Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Thailand yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah sempadan negara di Padang Besar, Perlis berjaya diberkas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejadian tembakan itu berlaku pada jam 10.28 pagi Khamis ketika dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan rondaan Ops Taring Wawasan Kedah/Perlis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan kejadian tembakan itu, anggota terbabit telah mengambil tindakan dan mencari tempat perlindungan, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan terhadap anggota berkenaan sebelum bantuan diterima daripada Pasukan Risik Batalion 1 PGA dan kenderaan perisai.

Tan Sri Razarudin Husain

"Jarak tembakan dilepaskan dianggarkan kira-kira 66 meter ke sempadan Padang Besar," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Berikutan itu, kata Razarudin, kawalan sempadan telah dipertingkatkan selain arahan semua anggota bertugas memakai kelengkapan baju kalis peluru dan 'helmet balistik' selain semakan kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan.

Katanya, pemantauan turut dilakukan dengan bantuan Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Dua lelaki warga Thailand ditahan Polis Thailand di negara itu, Jumaat lalu.

"Berdasarkan rakaman CCTV sekitar lokasi yang dilihat, dua suspek menaiki skuter dengan nombor pendaftaran Thailand disyaki datang dari kawasan kebun getah.

"Suspek telah memberhentikan motosikal sebelum mengeluarkan pistol dan melepaskan kira-kira 10 das tembakan. Suspek kemudian telah beredar," ujarnya.

Susulan itu, tambah Razarudin, sepasukan Polis Thailand daripada cawangan jenayah telah menahan dua suspek terbabit di sebuah rumah di Padang Besar, Thailand, kira-kira jam 10.40 pagi, pada Jumaat.

Tangkap layar video rakaman CCTV di sempadan negara di Padang Besar, Perlis mengenai kejadian tembakan oleh dua individu, Khamis lalu.

"Soal siasat suspek lelaki berusia 21 dan 28 tahun itu mendakwa meminjam pistol jenis semi auto daripada seorang rakannya.

"Suspek dikatakan bertujuan untuk mencuba senjata api berkenaan dan telah melepaskan tembakan ke arah sempadan Malaysia," katanya.

Jelasnya, suspek kemudian dipercayai menyerahkan semula pistol terbabit kepada rakannya.

"Siasatan masih dijalankan oleh Polis Thailand untuk mengesan senjata api yang digunakan," ujarnya.