Ringgit mengukuh 2.8 peratus berbanding dolar AS setakat 22 November 2024 - MOF

Iklan
Ringgit juga mengukuh berbanding mata wang negara serantau . Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Mata wang ringgit mencatat pengukuhan sebanyak 2.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 22 November 2024, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Ringgit juga mengukuh berbanding mata wang negara serantau iaitu masing-masing sebanyak 12.8 peratus berbanding mata wang yen Jepun; 12.2 peratus berbanding won Korea Selatan; 6.0 peratus berbanding rupiah Indonesia dan 4.1 peratus berbanding baht Thailand.

Iklan
Iklan

Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Dewan Negara hari ini, kementerian berkata kecairan pasaran mata wang asing menunjukkan peningkatan dari segi jumlah purata dagangan harian dalam pasaran mata wang asing daripada 15 bilion dolar AS sebelum tindakan terselaras (antara 29 Disember, 2023 hingga 26 Feb, 2024) kepada 18.1 bilion dolar AS (antara 26 Februari 2024 hingga 22 November 2024).

"Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau perkembangan dalam pasaran asing dan sentiasa bersedia mengambil langkah campur tangan bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan selain memastikan keadaan pasaran kekal teratur.

Iklan

"Di samping itu, prospek positif ekonomi Malaysia dan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar di bawah kerangka ekonomi MADANI untuk menambah baik prospek ekonomi negara akan terus memberi sokongan berterusan kepada ringgit," katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar mengenai usaha kerajaan ke arah penambahbaikan nilai ringgit berbanding dolar AS serta tempoh unjuran kejayaannya.

Iklan

MOF juga menegaskan kerajaan dan BNM akan meneruskan tindakan terselaras untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan ditukarkan kepada ringgit secara konsisten.

Tindakan sedemikian juga telah menggalakkan aliran dua hala yang lebih kukuh dalam pasaran pertukaran asing domestik yang seterusnya menjurus kepada pengukuhan nilai ringgit, kata kementerian itu. - Bernama