SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mengekalkan kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15) buat kali ketiga berturut-turut pada Isnin.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad kendalian Osmera Omaro menewaskan SMK Tinggi Kajang bimbingan Mohamad Hafizudin Sulaiman, 3-2.
Namun, kejayaan tersebut tidak hadir dengan mudah apabila SMK Tinggi Kajang memberikan tentangan sengit kepada juara bertahan itu sepanjang perlawanan.
Dalam perlawanan yang berlangsung penuh dramatik, SMK Shah Alam terlebih dahulu selesa berada di depan menerusi dua gol masing-masing dijaringkan Putera Alif Syaifullah Shamsul Nizam dan Darwisy Ukail Mohd Ezazulhelry pada separuh masa pertama.
SMK Tinggi Kajang bangkit pada separuh masa kedua bermula dengan jaringan Muhammad Adib Saiful Azly dan gol penyamaan Adib Wafie Naufal Abdul Halim.
SMK Shah Alam perlu menunggu sehingga minit-minit akhir perlawanan sebelum Putera Alif Syaifullah menjadi wira untuk mengesahkan kemenangan pasukan.
Selaku juara, SMK Shah Alam menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 manakala SMK Tinggi Kajang pula membawa pulang wang tunai RM6,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15, Datuk Emran Kadir; Pengurus Besar Korporat/Setiausaha Syarikat, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Mohd Nizam Yaakob.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,Dr Jafri Abu; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yusaini Salleh.
Kemenangan itu turut melengkapkan tahun gemilang buat SMK Shah Alam yang turut memenangi Piala Sumbangsih baru-baru ini.
Dalam pada itu, Osmera berbangga dengan pencapaian yang dilakar para pemainnya, namun tetap memuji tentangan sengit diberikan oleh pasukan lawan.
Malah, beliau juga tidak menolak bahawa faktor tuah juga memainkan peranan dalam kemenangan yang dilakar pasukan kendaliannya itu.
"Separuh masa pertama, kami bermain dengan sangat baik, tetapi pada separuh masa kedua pemain mengendurkan sedikit rentak permainan dan memberikan kesan kepada perlawanan.
"Pasukan lawan juga agak bagus. Mungkin ada sedikit tuah sehingga kami berjaya melakar kemenangan," katanya.
Sementara itu, SMK Bukit Kapar kendalian Hasrul Rasyid Harith muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan tersebut.
SMK Bukit Kapar menewaskan SMK Jalan Tiga bimbingan Muhammad Amir Mua'ainue Deen, 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28.
Kemenangan itu membolehkan SMK Bukit Kapar membawa pulang RM4,000 dan manakala SMK Jalan Tiga pula RM2,000.
Kejohanan tersebut mendapat penajaan daripada Kumpulan PNSB manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
INFO
PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15
JUARA
SMK Shah Alam
RM8,000
NAIB JUARA
SMK Tinggi Kajang
RM6,000
KETIGA TERBAIK
SMK Bukit Kapar
RM4,000
KEEMPAT
SMK Jalan Tiga
RM2,000
ANUGERAH PENJAGA GOL TERBAIK FINAL
Wan Wafi Qusyairi Wan Mohd Jasni
(SMK SHAH ALAM)
ANUGERAH PEMAIN TERBAIK FINAL
Mohamed Shafar Hamizan Barakathullah
(SMK SHAH ALAM)
ANUGERAH PENJARING TERBANYAK
Adli Naqiuddin Akhmad Asraffadean
(SMK BUKIT KAPAR - 8 gol)