SHAH ALAM - Pas mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN pada 2025.
Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, biasanya pemimpin negara akan melantik pakar diplomatik, bekas menteri luar atau tokoh akademik dalam bidang hubungan antarabangsa sebagai penasihat.
Menurutnya, sehingga kini, tiada justifikasi jelas daripada Anwar atau pihak kerajaan berhubung peranan spesifik Thaksin sebagai penasihat peribadi.
"Apakah yang Thaksin boleh lakukan yang tidak boleh dilakukan oleh para diplomat Malaysia?
"Jika tujuannya adalah memperkuatkan Kepengerusian ASEAN 2025, kenapa tidak lantik pakar dari dalam negara atau dari kalangan penggerak ASEAN sendiri, bukankah itu lebih logik dan munasabah?
"Kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa ini adalah gimik politik untuk mempromosikan imej 'pembawa perubahan' yang ingin ditonjolkan oleh Anwar.
"Mungkin beliau mahu dikenali sebagai pemimpin global yang mengumpulkan tokoh-tokoh hebat di sekelilingnya, walaupun tokoh-tokoh itu sendiri terpalit dengan skandal di negara masing-masing," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Sebelum itu, Anwar melantik bekas Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
Tambah Ahmad Fadhli, menjadikan seorang bekas pemimpin kontroversi dari Thailand sebagai penasihat peribadi ASEAN adalah langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Jelasnya, langkah itu menyerlahkan satu masalah besar dalam gaya kepimpinan Anwar yang suka membodek dan 'mujamalah'.
"Sama seperti beliau memanggil Narendra Modi sebagai 'abang' dan menyatakan 'ya' kepada Israel untuk wujud, pelantikan Thaksin ini seolah-olah satu lagi usaha untuk mengampu pihak yang dihadapannya.
"Namun seperti biasa, rakyatlah yang akan menjadi saksi kepada drama politik ini. Rakyat juga akan bertanya sama ada cerminan agenda kepentingan rakyat atau agenda peribadi Anwar?
"Jika jawapannya sukar dijawab, maka kita mungkin perlu bersedia untuk lebih banyak keputusan pelik seperti ini pada masa hadapan," ujarnya.