Guru taska ditahan disyaki dera bayi 11 bulan

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita tempatan ditahan Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah taska di Puncak Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai guru taska itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada jam 6.50 petang.

Iklan
Iklan

"Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya selepas mengambil bayi tersebut daripada sebuah taska pada jam 6.15 petang, 13 Disember lalu.

"Lelaki tersebut dimaklumkan oleh pengasuh taska bahawa kesan lebam itu berpunca akibat anaknya terjatuh daripada meja di dalam taska,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mohd Hafiz berkata, lelaki terbabit kemudiannya membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada penyelia taska pada Sabtu yang memaklumkan kesan lebam berkenaan berpunca daripada perbuatan pekerjanya dan bayi itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan perbuatan wanita terbabit yang bekerja di taska berkenaan sejak tiga tahun lepas dan setakat ini empat individu dirakam keterangan.

Iklan

Suspek direman sehingga 18 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya. - Bernama