BEREGU lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei belum mahu mendabik dada dengan pencapaian yang diraih pada musim ini sebaliknya menjadikannya sebagai batu loncatan untuk lebih baik pada tahun depan.
Justeru naib juara Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 itu bertekad untuk terus berusaha lebih gigih bagi mencapai prestasi optimum membentuk gandingan yang ampuh.
Pasangan nombor tujuh dunia itu terpaksa akur terlepas gelaran WTF di Hangzhou, China selepas tumpas di tangan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 17-21, 21-17, 11-21 dalam aksi final pada Ahad.
Biarpun terlepas gelaran, namun Nur Izzuddin tetap berpuas hati dengan pencapaian yang mereka raih pada kejohanan penutup musim itu apabila memberikan markah penuh kepada dirinya dan Sze Fei.
"Musim ini sangat baik. Kami sudah mencapai apa yang tidak dapat kami capai sebelum ini. Markah 10/10.
"Diharapkan, kami akan terus menghasilkan keputusan yang lebih baik tahun depan," katanya.
Di sebalik keputusan itu, Nur Izzuddin-Sze Fei bakal melonjak ke tangga ketiga dunia selain mengambil alih status selaku beregu lelaki nombor satu negara dari Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Dalam pada itu, Sze Fei pula berkata, biarpun terlepas gelaran juara, namun banyak pengajaran yang boleh mereka ambil bagi meningkatkan lagi kualiti permainan.
"Secara jujur ini adalah di luar jangkaan kami.
"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan yang bekerja keras dan tanpa sokongan penyokong mungkin sukar untuk kami melangkah sejauh ini," katanya.
Menerusi pencapaian itu, penampilan mereka pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil bermula 7 hingga 12 Januari depan pasti dinantikan peminat selain bakal menjadi pencabar utama.