DAMSYIK - Pada Ogos 2013, seorang jurugambar tentera Syria menggunakan kod nama Caesar 'menyeludup keluar' secara rahsia 53,275 foto memaparkan kekejaman di sebalik tirai besi yang dilakukan rejim Presiden digulingkan, Bashar al-Assad.
Kira-kira 11,000 daripada gambar itu menunjukkan mayat tahanan yang jelas menjadi mangsa penganiayaan serius.
Imej mengerikan itu kemudiannya menjadi asas kepada Akta Perlindungan Awam Caesar Syria yang ditandatangani sebagai undang-undang Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2019 yang mengenakan sekatan ke atas Damsyik termasuk rejim Assad atas jenayah perang terhadap penduduk Syria.
Identiti pembocor maklumat kezaliman rejim Assad kekal menjadi rahsia bagi mengelakkannya menjadi sasaran bunuh atau ditahan pihak berkuasa Syria atau sekutunya.
Pada 12 Disember lalu, beberapa hari selepas kejatuhan Assad, sekutu rapat Caesar bertindak tampil membongkar identitinya.
Sami atau pemilik nama sebenar Osama Othman, seorang jurutera awam dari luar bandar Damsyik mendedahkan dia mula bekerjasama dengan Caesar pada Mei 2011 selepas kebangkitan Arab Spring.
Kolaborasi berani mati itu menyaksikan Caesar menggalas 'tugas penting' di kawasan di bawah kawalan rejim Assad untuk merakamkan gambar mangsa yang terbunuh ketika berada dalam tahanan.
Bukti diperolehnya merekodkan kira-kira 70 kematian setiap hari dan kebanyakan tahanan didera dengan teruk.
Caesar menyimpan bukti tersebut dalam pemacu USB dan diserahkan kepada Sami yang berada di kawasan dikuasai penentang Assad.
Mereka bersama-sama membongkar pencabulan hak asasi manusia secara sistematik yang berlaku di penjara kawalan pemimpin autoritarian tersebut.
Pada 2014, kedua-dua lelaki tersebut meninggalkan Syria dan menghebahkan kepada dunia tentang kekejaman sebenar rejim Assad hingga mencetuskan kemarahan komuniti antarabangsa.
Koleksi gambar mengerikan itu kekal menjadi bukti jenayah kemanusiaan dilakukan Assad sepanjang lebih dua dekad pemerintahannya.
Pada minggu lalu, Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Kecemasan Syria (SETF), Mouaz Moustafa memuji keberanian Sami dan Caesar.
"Saya percaya beliau akan mendedahkan identitinya pada satu hari nanti. Dia pasti akan tampil menunjukkan wajah sebenarnya dan semua orang akan mengenali hero ini,” jelasnya.
PENYEMBELIHAN HAMA
Ketika kekejaman legasi Assad menjadi tumpuan, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland pula mempertimbangkan untuk menggugurkan kes jenayah perang dan jenayah kemanusiaan melibatkan bapa saudaranya.
Laporan akhbar Le Matin Dimanche dan SonntagsZeitung pada Ahad itu menyebut pendakwa raya Bern mengeluarkan senarai panjang jenayah ke atas Rifaat al-Assad termasuk mengarahkan pembunuhan, penganiayaan dan layanan tidak berperikemanusiaan serta penahanan secara tidak sah ketika beliau berkhidmat sebagai pegawai tentera.
Kezaliman paling mendapat perhatian adalah pembunuhan beramai-ramai di bandar barat Hama pada Februari 1982 yang menyebabkan antara 10,000 dan 40,000 terbunuh.
Perbuatan kejam itu mengakibatkan Rifaat al-Assad mendapat julukan 'Penyembelih Hama'.
Pada 29 November lalu, beberapa hari sebelum anak saudaranya disingkirkan oleh puak pemberontak diketuai Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Mahkamah Jenayah Persekutuan memaklumkan kepada plaintif bahawa ia bercadang untuk menutup prosiding tersebut.
Tribunal berkenaan memberi alasan keadaan kesihatan defendan yang berusia 87 tahun menyukarkannya untuk hadir perbicaraan tersebut.
Difahamkan, pejabat pendakwa raya persekutuan membuka kes itu pada Disember 2013 susulan menerima laporan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Trial International.
"Mahkamah itu mahu menutup kes tersebut, namun keputusan rasmi belum dibuat. Jika perkara itu berlaku, berkemungkinan besar ia akan dipertikaikan,” ujar penasihat undang-undang NGO tersebut, Benoit Meystre.
Pendakwa raya Switzerland melancarkan prosiding tersebut atas faktor bidang kuasa sejagat untuk jenayah terhadap kemanusiaan dan kes jenayah perang.
Rifaat al-Assad hidup dalam buangan pada 1984 selepas gagal untuk menggulingkan abangnya, Hafez al-Assad yang memerintah pada masa tersebut.
Beliau kemudiannya muncul sebagai penentang Bashar al-Assad dan pernah berhijrah ke Switzerland dan Perancis.
Rifaat al-Assad kembali semula ke tanah air selepas hidup dalam buangan selama 37 tahun di Paris kerana melarikan diri daripada hukuman penjara empat tahun atas kesalahan pengubahan wang haram dan penyelewengan dana awam di negara Eropah Barat itu pada 2020. - Agensi