SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh memegang jawatan sebagai Perdana Menteri walaupun tidak lagi menjadi presiden parti pada pemilihan akan datang.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia berikutan Anwar bukan sahaja memegang jawatan sebagai Presiden PKR tetapi beliau juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Rundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
"Ia sama seperti dinyatakan oleh Fahmi Fadzil (Ketua Penerangan PKR) yang menegaskan bahawa jawatan lain disandang Anwar membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.
"Dalam hal itu (gesaan melakukan pemilihan parti segera), saya yakin Anwar mahu memastikan kestabilan dapat dipelihara tanpa menjejaskan kelangsungan pentadbiran di peringkat pusat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Anwar menggesa proses pemilihan parti itu dilaksanakan segera bagi membolehkan peralihan kepimpinan selaras dengan prinsip demokrasi yang dijunjung tinggi.
Menurutnya, barisan kepimpinan parti juga harus melibatkan gandingan baharu dan lama.
Dalam pada itu, Sivamurugan turut memberitahu bahawa tindakan yang mahu dilakukan Anwar itu mungkin disebabkan keengganan beliau untuk mengadakan pemilihan parti dalam tempoh yang dekat dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa Ahli Parlimen Tambun berkenaan mahu peneraju baharu memahami aspirasi, idealisme dan perjuangan parti.
"Jadi gandingan kedua-dua (baharu dan lama) itu penting supaya parti tersebut kekal relevan dalam perubahan politik mutakhir ini yang bersifat kontemporari.
"Ada juga usaha membawa golongan muda ke dalam jawatan-jawatan penting dalam parti supaya mereka ini bukan dianggap pelapis masa akan datang tetapi pelapis pada hari ini,” ujarnya.