MERAK JALANAN perasan, kes penipuan terutamanya dalam talian dilaporkan oleh media hampir setiap hari walaupun sudah ‘berbuih mulut’ pihak berkuasa memberi amaran berkaitannya.
Statistik pada 2023 seperti dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di Parlimen menunjukkan sejumlah 34,497 kes penipuan dalam talian di seluruh negara membabitkan kerugian RM1.1218 bilion.
Katanya, kes jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS), tipu penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon antara kes tertinggi direkodkan dengan lebih 10,000 kes melibatkan RM352.9 juta.
Hakikatnya Merak Jalanan rasakan banyak lagi kes penipuan yang tidak dilaporkan sama ada berkait dengan jumlah wang yang besar atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Merak Jalanan tertarik dengan penipuan yang berlaku di Makkah ketika umat Islam ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah atau haji.
Antara penipuan yang popular berlaku di Makkah termasuk di hadapan Kaabah ialah bantuan menghampiri hajaralaswad dan mengucupnya.
Jemaah yang benar-benar mahu mencium batu dari syurga itu pastinya sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima bantuan daripada orang asing, namun akhirnya jemaah tertipu apabila diminta membayar sejumlah wang yang besar.
Penipuan lain yang melibatkan jemaah di Tanah Haram termasuklah pembelian minyak wangi, cincin, telefon pintar dan jam tangan apabila barang yang ditunjuk untuk jualan lain, namun barang ciplak pula yang diterima.
Begitu juga penipuan peminta sedekah, pertolongan mengangkat beg, tolak kerusi roda, fotografi dan teksi.
Begitulah antara sebahagian penipuan atau scam yang berlaku walaupun di Tanah Suci itu sendiri.