KEMAMAN - Seorang warga emas berputih mata apabila kerugian sebanyak RM704,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud dalam aplikasi WhatsApp.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki yang juga merupakan ahli perniagaan berusia 73 tahun itu telah melihat satu iklan pelaburan di aplikasi tersebut yang menawarkan pulangan keuntungan lumayan.
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian menyertai skim pelaburan yang dikenali sebagai Saham L-5 Cicc Investment.
"Susulan itu, lelaki berkenaan telah membuat 10 kali transaksi ke dalam tiga akaun bank yang berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM704,000," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Wan Muhamad berkata, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Justeru, beliau berkata, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis pada Isnin lalu.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Wan Muhamad berkata, pihaknya turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melakukan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan dalam masa yang singkat dan lumayan.
"Selain itu, dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti portal Semak Mule CCID, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai sebarang skim pelaburan," jelasnya.