SHAH ALAM - Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan 'Stabil'.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi negara seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi Madani.
"Khususnya komitmen Kerajaan Madani untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi berkesan," katanya dalam kenyataan Kementerian Kewangan pada Selasa.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, Kementerian Kewangan memberitahu, pemacu utama yang menyokong penarafan ini adalah momentum pertumbuhan kukuh dan meluas, kedudukan politik stabil, lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing yang teguh serta penurunan defisit fiskal.
Menurutnya, Fitch menyatakan kepastian dasar dalam negara bertambah baik susulan kestabilan kerajaan yang dicerminkan oleh pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi, termasuk pengukuhan tata kelola entiti milik kerajaan serta perundangan, antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
"Perkara ini adalah selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menyatakan bahawa pelaksanaan agenda pembaharuan oleh kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif.
"Ekonomi Malaysia berkembang dengan kukuh pada 5.3 peratus, bagi suku ketiga 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar bertambah baik.
"Kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi teguh pada tahun 2024, yang telah disemak semula lebih tinggi dalam lingkungan 4.8 peratus dan 5.3 peratus daripada anggaran awal antara empat peratus dan lima peratus," jelasnya.
Tambah kenyataan itu, kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal, merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025.
"Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025. Kerajaan komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil, penggunaan sumber yang optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi, khususnya RON95.
"Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka ekonomi Madani untuk mentransformasikan ekonomi, meningkatkan nilai rantaian, menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara," ujarnya.