BACHOK - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok telah menaikkan bendera merah di Pantai Irama di sini ekoran keadaan laut bergelora serta air pasang sehingga menyebabkan ombak besar.
Pegawai Pertahanan Awam Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin berkata, langkah itu sebagai tanda amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di pesisir pantai bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
"Selain Pantai Irama, pengunjung juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan terkini keadaan cuaca ketika berkunjung ke pantai-pantai lain di Bachok seperti di Irama, Melawi, Senok@Nami, Kemayan dan beberapa kawasan lain lagi.
"MTL (Monsun Timur Laut) yang sedang melanda ketika ini boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan termasuk nyawa orang ramai.
"Aktiviti air seperti mandi, pungut hasil pantai, berkelah perlu dihentikan buat sementara waktu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut beliau, hal ini kerana keadaan ombak yang boleh mencecah sehingga satu meter serta air pasang boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung.
Ujarnya, orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa memberi perhatian kepada setiap arahan yang dikeluarkan terutama mematuhi isyarat bendera merah.
Mohd Khairi memberitahu, ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau anak-anak supaya tidak bermain atau mandi manda di pantai.
"Jika berlaku kecemasan, maklum kepada petugas penyelamat pantai APM (baywatch) berhampiran dengan segera atau hubungi talian kecemasan 999 dan bukannya membuat tindakan sendiri.
"Kepada penduduk yang tinggal di tepi pantai pula perlu peka dengan info semasa terutama melibatkan air pasang besar,” katanya.