KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di sini, pada Selasa.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Pada istiadat sama, Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Istiadat tersebut turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama pada istiadat itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Musa, yang merupakan anak jati Beaufort yang terletak kira-kira 97 km ke selatan Kota Kinabalu, dilahirkan pada 30 Mac 1951. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Edith Cowan University, Australia.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003, menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat dan memegang jawatan itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018, menjadikannya Ketua Menteri Sabah yang paling lama memegang jawatan tersebut.
Selain berkhidmat sebagai Ketua Menteri, Musa yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga selama enam penggal (1994-2020) juga pernah memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh. - Bernama
Musa menjunjung kasih kepada Agong atas pelantikan sebagai TYT Sabah ke-11
KUALA LUMPUR - Tun Musa Aman pada Selasa menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 pada istiadat di Istana Negara, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ketua Menteri Sabah itu turut menzahirkan kesyukuran atas pelantikan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Pada istiadat sama, Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Sementara itu, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Musa atas perlantikan tersebut dan berharap Musa akan dapat memberi khidmat bakti dalam membangunkan Sabah.
Ketika ditemui selepas istiadat berkenaan, Hajiji turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Juhar atas khidmat bakti sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah selama 14 tahun.
"Penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Tun Juhar atas khidmat bakti sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang paling lama berkhidmat di Sabah selama 14 tahun.
"Dengan demikian, tentu bakti, jasa Tun (Juhar) begitu besar kepada rakyat dan saya bagi pihak kerajaan serta rakyat Sabah mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Juhar," katanya. - Bernama