KUBANG ROTAN - Kepimpinan baharu Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah masih menjadi tanda tanya biarpun lantikan kepimpinan peringkat Pusat sudah selesai.
Jangkaan bilakah pelantikan BPN Bersatu Kedah penggal baharu akan diumumkan masih tiada petunjuk, sama ada kekal diterajui Pengerusi sedia ada, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah atau bertukar tampuk kepimpinan.
Terdapat desas-desus mengatakan kemungkinan Bersatu Kedah akan diterajui muka baharu berikutan Ahli Parlimen Langkawi itu mengalami masalah kesihatan dan pada masa sama parti itu memerlukan sentuhan baharu untuk lebih menyerlah.
Antara muka baharu yang dikatakan berpotensi dan layak menerajui Bersatu Kedah ialah Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan.
Spekulasi tersebut semakin berlegar apabila berlaku beberapa perubahan kepimpinan di peringkat Pusat yang turut menjadi ‘kejutan’ kepada pemerhati politik.
Ketika diajukan persoalan tersebut kepada Mohd Salleh, ADUN Kubang Rotan itu agak terkejut dan tiada maklumat sama ada nama beliau antara calon disenaraikan oleh kepimpinan tertinggi parti.
"Saya tak tau mengenai perkara ini. Sememangnya saya tak tahu. Tak pernah dengar-dengar pula,” katanya ringkas.
Mohd Salleh yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya negeri pada 2023, menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Pusat berkaitan strategi mengukuhkan parti.
"Lantikan Pengerusi BPN atau lain-lain jawatan adalah keputusan pimpinan atasan termasuk bila akan diumumkan, kita tak tahu.
"Saya serahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan apa yang terbaik untuk Kedah.
"Setakat ini, wakil rakyat Bersatu di Kedah melaksanakan tugas sebaik yang boleh.
"Selebihnya diserahkan kepada kepimpinan parti yang lebih mahir dan lebih mengetahui,” ujarnya.
Beliau turut meminta semua pihak agar ‘bertenang’ dan menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi Bersatu selain tidak membuat spekulasi yang dikhuatiri akan menjejaskan kesepakatan parti itu.