Caj RM1 di ATM tidak seimbang kepada pekerja pendapatan rendah

Iklan
Zouhair

SHAH ALAM - Bayaran caj fi RM1 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mewujudkan kesan tidak seimbang kepada pekerja berpendapatan rendah berikutan golongan itu banyak bergantung kepada kaedah pengeluaran tersebut.

Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Dr Zouhair Rosli berkata, caj fi yang diketepikan ketika pandemik Covid-19 itu tidak perlu dilaksanakan semula kerana membebankan golongan pekerja berkenaan.

Iklan
Iklan

"Adakah kita tidak belajar apa-apa sejak pandemik? Caj itu sememangnya tidak perlu dan tiada justifikasi langsung dari segi perikemanusiaan untuk mengenakannya semula,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zouhair turut mempersoalkan peranan kerajaan dalam mengawal selia, melindung dan memastikan keadilan sosial untuk komuniti masyarakat berpendapatan rendah.

Iklan

Ujarnya, berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai rangkaian pembayaran pada tahun ini, rakyat Malaysia secara purata menggunakan ATM dua kali sebulan.

Menurut beliau, jika semua transaksi melibatkan pengeluaran tunai antara bank, seseorang itu dikenakan caj RM24 setahun hanya kerana tiada ATM bank miliknya di kawasan berhampiran rumah.

Iklan

"Jumlah ini bukannya kecil, RM24 bersamaan dengan bajet makan orang miskin untuk dua hari atau harga satu hidangan untuk pelajar sekolah di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) selama tujuh hari.

"Rakyat di negeri yang lebih miskin juga terhukum secara tidak adil. Berapa ramai yang menggunakan perbankan internet?

"Di peringkat kebangsaan ialah 75 peratus. Bagaimanapun, di negeri miskin, peratusan itu jauh lebih rendah,” katanya.