BUKIT MERTAJAM - Seorang kanak-kanak, Puteri Lina Anati Shariff memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM85,000 bagi menjalani pembedahan segera untuk penyakit jantung kongenital yang dihadapinya.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, kanak-kanak berusia 8 tahun itu didiagnos dengan masalah tetralogi fallot (TOF) iaitu sejenis kecacatan jantung selepas mengalami sesak nafas dan badan kebiruan sejurus lahir.
Menurutnya, Puteri Lina Anati dari Gerik, Perak yang lahir semasa usia kandungan lapan bulan itu telah menjalani pembedahan semasa berusia 6 tahun.
"Ketika itu dia mengalami dyspnea (sesak nafas) dan sianosis (kebiruan) sebelum didapati mengalami masalah kardiovaskular yang semakin teruk dan perlu pembedahan segera.
"Pemeriksaan baru-baru ini, doktor memaklumkan bahawa pembedahan kali kedua perlu dibuat segera bagi membaiki TOF kerana nyawanya sedang terancam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Sui Hau, keluarga kanak-kanak itu berdepan masalah apabila tidak mampu membiayai kos pembedahan tersebut yang telah dijadualkan pada 19 Disember ini.
"Bantuan sebanyak RM85,000 diperlukan dan kami berbesar hati untuk membantu mengumpul dana.
"Bapanya, Shariff Abdul Rahman, 53, hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan kira-kira RM500.
"Puteri Lina Anati dijaga oleh bapa saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dua tahun lalu akibat kegagalan buah pinggang,” tambahnya.
Beliau menambah, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline, 04-5399212/016-4192 192/019-2322192/ 018-9114192.