Usaili mahu pertahan Ketua Cabang Parit dipegang sejak 1998

Iklan
Usaili

IPOH - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) paling lama di Perak, Usaili Alias menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Parit pada pemilihan parti itu tahun ini.

Menurutnya, biarpun sudah memegang jawatan itu sejak tahun 1998, ia bukan satu halangan untuk meneruskan khidmat bakti memimpin cabang tersebut bagi penggal seterusnya.

Iklan
Iklan

Jelasnya, tugas memimpin parti itu di peringkat cabang dilihat masih diperlukan apabila tidak pernah tewas pada pemilihan parti sebelum ini walaupun pernah digantung keahlian pada tahun 2018.

"Selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, saya berhajat untuk terus pegang jawatan Ketua Cabang Parit. Saya bersama Anwar sudah 35 tahun dan antara orang yang paling setia.

Iklan

"Jika menang pemilihan ini, saya tidak berhasrat untuk jadi calon dalam Pilihan Raya Umum, cukuplah jadi penasihat kepada rakan-rakan yang lain," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Usaili berkata, hanya ketika keahlian digantung sebelum ini menyebabkan jawatan tersebut disandang individu lain sebelum kembali menerajui cabang sama selepas itu.

Iklan

Jelasnya, banyak program dan aktiviti dilaksanakan sepanjang menjadi ketua cabang malah terus dipelbagaikan ketika ini seperti program motivasi untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), program Kembali Ke Sekolah serta aktiviti lain yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Usaili yang pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota pada tahun 1999 mengharapkan proses pemilihan kali ini dilaksanakan secara telus.

Kata pemimpin berusia 72 tahun itu, pemilihan pada kali ini perlu terhindar dari sebarang politik wang mahupun penipuan agar pemimpin yang dipilih benar-benar bersih.

"Saya juga menyambut baik pindaan perlembagaan parti yang dibuat baru-baru ini untuk membolehkan lebih ramai ahli terlibat dalam proses pemilihan. Di Cabang Parit kita ada 2,118 orang ahli dan kita jangka jumlah ini akan bertambah pada masa akan datang.

"Saya mahu terus menyokong dan mempertahankan kepimpinan Anwar tambahan pula presiden kita akan menjadi Pengerusi ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara). Jadi semua pemimpin juga harus lakukan perkara sama," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan bahawa parti itu akan membuat pemilihan selepas mandat dipegang barisan pimpinan parti itu pada ketika ini berakhir Mei tahun depan.