TANAH MERAH - Seorang lelaki dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup 290 pelbagai jenis anak pokok orkid dianggarkan bernilai setengah juta ditahan di Lalang Pepuyu, di sini pada Isnin.
Tangkapan terhadap suspek berusia 29 tahun itu dilakukan pada jam 6.30 petang oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu semasa melakukan Op Taring Wawasan di sekatan jalan raya (SJR) di kawasan tersebut.
Iklan
Iklan
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki terbabit ditahan kerana memandu lori dalam keadaan mencurigakan ketika melalui SJR.
"Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit telah menemukan 290 pelbagai jenis anak pokok orkid yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah.
"Lelaki terbabit dipercayai diupah menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Ujarnya, suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti untuk tindakan lanjut.