JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor melupuskan pelbagai barangan kes dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2.1 juta.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pelupusan itu membabitkan 152 kertas siasatan yang telah selesai sejak Januari hingga kini.
Menurut beliau, barang kes yang dirampas di kedai, stor dan kilang termasuk daripada pemborong serta peruncit itu dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah.
"Aktiviti pelupusan ini merupakan yang terakhir bagi tahun 2024 melibatkan sejumlah 45,374 unit barangan pelbagai jenis.
"Antaranya seperti pakaian, aksesori telefon, jam tangan, beg tangan, produk makanan, kasut, helmet dan baju hujan.
"Semua barangan dirampas membabitkan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1964 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Pelupusan Eksibit KPDN Negeri Johor di Kompleks Penyimpanan Eksibit Senai di sini pada Selasa.
Menurut Lilis Saslinda, sepanjang tahun ini, KPDN Johor menghasilkan sebanyak 1,287 kes dengan jumlah nilai sitaan sebanyak RM29.7 juta.
"Dalam tempoh yang sama juga, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan merekodkan hasil kutipan kompaun dan denda adalah sebanyak RM1.33 juta," katanya.
Dalam pada itu, peniaga di negeri ini diminta mematuhi segala undang-undang perniagaan yang telah ditetapkan kementerian berkaitan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.
"Pengguna juga dinasihatkan tidak membeli barangan tiruan kerana produknya tidak berkualiti serta sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik cap dagang," ujarnya.