RANTAU PANJANG - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah serta air ketum di dua lokasi berasingan di sini pada Isnin.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Lubok Stol di sini, dan menahan seorang lelaki berusia 27 tahun semasa Op Taring Wawasan pada jam 10.30 malam.
"Hasil pemeriksaan telah menemukan 24 liter air ketum, daun ketum dua kilogram, ubat batuk (10) dan seunit periuk.
"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,030 dan kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut beliau, kesemua barangan rampasan serta suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, dalam kes kedua, anggota Batalion 9 menahan sebuah motosikal yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Cabang Empat Salam di sini pada jam 11.45 malam.
Ujarnya, suspek bertindak memecut laju motosikal yang ditungganginya untuk melarikan diri dan sebuah beg telah terjatuh.
"Hasil pemeriksaan menemukan dua bungkus plastik lutsinar berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine.
"Dadah tersebut dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan. Rampasan terbabit dianggarkan bernilai RM72,000. Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujar beliau.