Amang seksual: PU Azman dipenjara 7 tahun, dua sebatan

Iklan
PU Azman diiring pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah.

SEREMBAN - Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Surita Budin menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh yang dikenali sebagai PU Azman, 43, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan dibacakan pada prosiding sebutan semula kes.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan Azman menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamatnya hukuman.

Sebelum itu, Surita memberitahu, keputusan terbabit dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan awam melebihi faktor kepentingan tertuduh sendiri.

Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai antara jam 8.30 malam hingga 5 pagi pada 5 Februari 2022 dan 6 Julai 2022.

Iklan

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad dalam rayuannya berkata, pengakuan salah anak guamnya telah menjimatkan masa semua pihak dan tidak perlu lagi menyambung perbicaraan.

Ujarnya, tertuduh yang merupakan seorang duda memohon ampun dan maaf atas kesalahan dilakukan serta telah pun insaf.

"Tertuduh mohon hukuman pemenjaraan yang paling minimum dari tarikh beliau dijamin iaitu 9 Oktober lalu.

"Beliau telah dipenjara dari 27 September lalu dan sehingga kini masih menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan di Mahkamah Klang," katanya.

Tambahnya, tertuduh juga tiada kesalahan lain dan tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan di mahkamah sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi berkata, pengakuan salah tertuduh bukanlah satu faktor peringanan yang harus diberikan.

Beliau berkata, satu hukuman berbentuk pengajaran bukan saja harus diberikan kepada tertuduh malah kepada masyarakat secara amnya.

"Tertuduh merupakan pendakwah selebriti yang mana perbuatan tersebut tidak harus dilakukan oleh tokoh pendakwah seperti beliau terhadap kanak-kanak.

"Pihak pendakwaan memandang kesalahan ini bukanlah satu perkara mudah yang harus diambil keringanan dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan selepas tertuduh didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.

Hakim, Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan

Pada 6 Disember lalu, Mahkamah Majistret Klang pula menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Azman selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki, pada 10 Jun 2022.