PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhir Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S. Shashi Kumar untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua penceramah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong Wan Hung yang didakwa menghina kepercayaan dan amalan agama orang bukan Islam.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mengetuai panel tiga hakim berkata pihak perayu (Shashi) gagal meyakinkan panel itu mengenai kekhilafan dilakukan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam Dr Wendy Ooi Su Ghee dan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali dalam kes tersebut.
"Keputusan majistret untuk menolak permohonan perayu dan tidak meneruskan pemeriksaan perayu dalam kes ini adalah tepat dan tidak terkhilaf.
"Mahkamah ini mendapati kedua-dua rayuan adalah tidak bermerit, maka rayuan perayu ditolak dan keputusan Mahkamah Majistret yang disahkan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Ahmad Zaidi yang turut bersidang bersama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan.
Pada 2020, polis menyiasat kedua-dua pendakwah itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas dakwaan menimbulkan permusuhan antara kumpulan berbeza atas alasan agama atau kaum.
Pada 8 Januari 2021, Shashi memfailkan permohonan pendakwaan persendirian di Mahkamah Majistret Shah Alam dan pada 3 September 2021, Majistret Mohamad Redza menolak permohonan itu atas alasan siasatan polis terhadap Zamri adalah Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan siasatan masih diteruskan ketika itu terhadap Firdaus.
Susulan keputusan itu, Shashi memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan pada Mac 2023 mahkamah berkenaan mengekalkan keputusan menolak permohonan untuk meneruskan pendakwaan persendirian itu.
Pendakwaan persendirian ialah undang-undang merujuk kepada seseorang individu membuat aduan kepada majistret untuk meminta pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa seseorang individu lain di mahkamah.
Sebelum ini pada prosiding di Mahkamah Rayuan, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap kedua-duanya.
Pada prosiding hari ini, Shashi diwakili peguam S Ravichandran manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail. - Bernama